SUAMI sebagai nakhoda rumah tangga wajib mencari nafkah serta menyediakan keperluan terbaik buat keluarganya. Isteri pula bertanggungjawab membantu suami menjaga anak-anak, makan minum, mengemas rumah dan kerukunan rumah tangga. Bagaimanapun, perkembangan terkini menyaksikan ramai lelaki (suami) tinggal di rumah manakala isteri mereka mencari nafkah di luar.
Perkembangan ini tercetus berikutan masalah ekonomi dan pemberhentian pekerja yang banyak berlaku di kalangan bank, syarikat swasta dan industri.
Akibatnya, golongan lelaki yang tidak bekerja itu mengambil alih tugas wanita menjaga anak-anak, menghantar ke sekolah, memasak malah mengemas rumah. Cerita suami menjadi suri rumah mungkin nampak pelik di zaman dulu, kini ia sesuatu yang realiti. Ada yang melihat suami yang memilih menjadi suri rumah sebagai golongan yang ‘berani’ melakukan perubahan. Namun, wajarkah aturan seperti itu berlaku dalam keluarga Islam? Wajarkah seorang suami yang beragama Islam mengurus rumah tangga, manakala isterinya menjadi mencari nafkah buat keluarga? Allah berfirman yang bermaksud: “Lelaki itu adalah pemimpin bagi perempuan sebab Allah melebihkan setengah mereka dari yang lain dan kerana mereka (lelaki) memberi belanja dari hartanya (untuk perempuan). (Surah An-Nisa’ ayat 34) Yang dituntut ialah suami membantu isteri melakukan kerja di rumah sebagaimana Rasulullah pernah membantu isteri Baginda. Rumah tangga yang berjaya dan berada dalam kebahagiaan ialah di dalamnya terdapat kerjasama bersepadu antara pasangan suami isteri. Rasulullah menempatkan akhlak sebagai jalan utama untuk mencapai kebahagiaan. Baginda tidak pernah memaksa atau memberatkan isterinya. Menurut hukum asal dalam Islam, haram hukumnya bagi lelaki yang berumah tangga (tanpa sebab) tidak bekerja mencari nafkah. Memandangkan kini ramai wanita memegang jawatan penting dalam sesebuah organisasi, pasti mereka bergaji lebih besar daripada suami.
Jadi, apakah ia punca suami mengambil keputusan mudah meninggalkan karier untuk duduk di rumah.
Memang ada suami ikhlas berhenti kerja untuk menjaga dan memberi pendidikan sempurna kepada anak-anaknya. Malah, ada yang serius membuat ‘persiapan rapi’ dengan mengambil kursus atau kelas memasak, jahitan serta menjaga sendiri anak di rumah tanpa menggunakan khidmat pembantu rumah.
Jelas, suami tidak boleh memandang enteng perkara ini kerana ia berkaitan soal maruah seorang suami. Mungkin ada suami yang terpaksa berhenti kerja atas sebab mengidap penyakit yang memerlukan mereka berehat. Manusia perlu memahami bahawa Allah s.w.t bijak dalam mengatur hukum di atas dunia ini. Apa yang bermanfaat dan baik saja yang digalakkan dan dibenarkan.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Mereka menanyakan kepadamu: “Apakah yang dihalalkan bagi mereka?” Katakanlah: “Dihalalkan bagimu yang baik-baik” (Surah Al-Maidah ayat 4)
Wanita tidak diharamkan bekerja asalkan mereka tahu menjaga hukum yang ditentukan Islam. Sekalipun mereka bekerja, pendapatan yang diterima menjadi hak mutlak mereka.
Mereka tidak bertanggungjawab memberikan kepada suami melainkan atas dasar ihsan. Allah memberikan seorang lelaki dengan pelbagai kemampuan dan kelebihan berbanding wanita.
Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Bagi seorang wanita untuk menunaikan solat di tempat tidurnya adalah lebih baik dari menunaikannya di bilik dan menunaikannya di bilik lebih baik dari menunaikannya di rumah dan menunaikan di rumahnya lebih baik dari menunaikannya di masjid.” (Riwayat Abu Daud, Ahmad) Kebanyakan wanita yang bekerja bagi membantu suami dan mereka tidak sekali-kali dibebankan dengan tugas menyara keluarga walaupun pendapatan yang diperoleh besar.
Meskipun pendapatan suami kecil, mereka perlu meletakkan peranan menjadi ketua keluarga mengatasi segala-galanya. Kedudukan sebagai ketua keluarga itu tidak akan berubah sampai bila-bila.
Kedudukan isteri yang lebih menjawat jawatan tinggi atau melebihi suami dari segi kewangan bukan alasan melepaskan tanggungjawab itu kepada isteri. Suami yang memilih menjadi suri rumah perlu meneliti keputusan mereka itu dan kembali menerima hakikat, sebagai nakhoda mereka bertanggungjawab terhadap rumah tangga. Perunding motivasi Human Touch Consultant, Datuk Mohd Zawawi Yusoh, berkata ada dua keadaan suami duduk di rumah.
Pertama, tiada pekerjaan kedua, sengaja mengambil kesempatan ke atas isteri yang berpendapatan tinggi.
“Di dalam Islam, suami bertanggungjawab keluar mencari nafkah untuk diberikan kepada isterinya.
“Jika ada suami enggan bekerja dan mahu menjadi suri rumah, mereka perlu meletakkan martabatnya sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab menggalas segala urusan rumah tangganya,” katanya.
Beliau berkata, maruah adalah satu kedudukan tinggi yang perlu dijaga dan dipelihara.
“Jika suami menjadi suri rumah dan mengharap rezeki daripada isteri, bermakna mereka menjadi golongan menerima yang boleh diarah. “Sebagai ketua keluarga, mereka perlu menjadi individu yang tangannya berada di atas (golongan pemberi) sesuai dengan peranan mereka sebagai pentadbir keluarga,” katanya.
Mohd Zawawi berkata suami perlu memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya mengikut kemampuannya iaitu menyediakan isteri makanan yang mencukupi, pakaian mengikut keperluan serta tempat perlindungan.
“Suami yang membiarkan isteri yang mencari nafkah dan bersenang-lenang hasil pendapatan isteri adalah suami yang tidak bertanggungjawab dan menyalahi syarak.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan kewajipan suami memberi makan dan pakaian kepada isteri dengan cara yang baik.” (Surah Al-Baqarah ayat 233) Pernah Nabi Muhammad s.a.w selepas pulang daripada perang Tabuk baginda terlihat kulit tangan Saad bin Musa al-Ansari hangus kehitaman lalu mengambil tangannya dan menciumnya.
“Saad menyatakan tangannya jadi begitu disebabkan beliau mencangkul tanah untuk menanam pokok demi mencari nafkah buat keluarganya.
“Begitulah besarnya pengorbanan seorang suami yang bekerja keras mencari nafkah buat keluarga,” katanya.
Beliau berkata, jika suami mengalami masalah kecacatan atau masalah lain yang tidak memungkinkan mereka bekerja termasuk terbabit dalam kemalangan, itu soal lain.
“Situasi itu di luar bidang kuasa manusia. Masalahnya, jika ada suami yang mengambil kesempatan di atas kelebihan isteri.
“Mereka hanya menjadi bebanan kepada isteri kerana duduk di rumah tanpa melakukan kerja. Suami pemalas sebegini tidak boleh menikmati hasil rezeki titik peluh isterinya dan ia menyalahi tuntutan agama Islam,” katanya.
mkbs - apa salahnya jika sang suami dan sang isteri ada persetujuan dan si sang suami pula rela suka jadi surirumah...huhuhu....