5 sebab utama anda akan sentiasa jadi pokai:
- Pasangan Anda Hilang Kawalan.
Ini kerap berlaku. Mungkin ini sedikit keterlaluan, tetapi mempunyai pasangan yang tidak rasa kesukaran untuk bekerja dan urus kewangan keluarga bersama adalah amat sukar. Apa lagi jika pasangan anda tidak mampu mengawal kehendaknya untuk membeli apa sahaja yang menarik minatnya. Jika kedua-duanya tidak boleh bekerjasama untuk urus kewangan, atau kawal belanja, keadaan biasanya akan menjadi teruk.
- Anda Dalam Penafian.
Berjuta-juta orang berada dalam keadaan ini. Ini adalah apabila anda tidak mahu menerima bahawa anda sudah perlu melihat dengan serius terhadap keadaan kewangan anda. Berbuat demikian bermaksud anda mungkin terpaksa berhenti berbelanja dan menjalani hidup tanpa benda-benda yang jiran anda dan orang lain ada. Siapa yang hendak berbuat begitu bukan?
- Anda Berkhayal.
Saya pernah menyertai pemasaran pelbagai aras (multi level marketing, MLM) beberapa tahun dahulu dan saya diberitahu jika saya mengikuti sistem mereka yang ‘telah terbukti’, saya akan jadi kaya. Anda rasa bagaimana? Ribuan dari kita terkena dengan ini. Kita berbelanja sakan tanpa endah, mana tidaknya, kitakan akan kaya dalam masa 3 tahun lagi. Natijahnya, ia tidak menjadi seperti apa yang kita mahukan dan syarikat itu, bersama dengan harapan kita untuk menjadi seorang jutawan, melingkup ke dalam tanah.
Ini contoh yang telah berlaku pada diri saya sahaja.
Mengimpikan sesuatu adalah baik jika ianya dirancang dengan berpandukan realiti. Mengikut-ikut orang atau tren terkini secara membuta tuli adalah jalan kepada kerugian.
- Anda Tiada Belanjawan.
Adakah membuat belanjawan membuatkan anda lari lintang pukang berlindung di dalam gua di sebalik bukit? Jika ya, mengapa? Kerana ia membosankan, mengawal anda, menjadikan diri anda kurang dari orang lain dan buat anda rasa tertekan. Iyalah, itu tidak boleh, ini tidak boleh, ini kena kurang, itu kena kurang, buat diri anda dikawal dan diikat. Saya boleh buat AutoCAD dan Excel sepanjang hari, tapi saya tidak suka buat belanjawan. Ia payah dan mengongkong saya.
- Anda Bazirkan Terlalu Banyak Wang.
Ini sangat jelas, tapi anda akan terkejut bahawa sebenarnya tidak ramai orang yang menjejak perbelanjaan spontan mereka. Di sini dimaksudkan adalah lihat pada apa yang anda belanjakan, bukan berjimat. Ramai orang tidak ambil kisah tentang teh tarik dan roti canai pada pagi hari dan air tin bergas dan makanan ringan pada petang hari. Tetapi cuba teka, jika mereka belanja RM10 sehari, setahun mereka sudah belanja sebanyak RM3650 setahun untuk itu. RM3650 ini sudah cukup untuk membawa keluarga anda bercuti.
Cuba jejaki setiap sen yang anda belanjakan dan anda akan lihat perbezaannya! Apabila anda jejaki, anda boleh buat belanjawan. Tanpa melihat pada apa yang anda belanjakan, anda tidak tahu apa yang perlu dan boleh anda hadkan atau singkirkan terlebih dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
ponsikou